Saturday, 20 April 2013

Air Yang Mengalir..


Assalamualaikum semua :)
Ada makhluk Allah bernama air yang mengalir
Ada sesuatu yang saya rasa, kita manusia, perlu mengambil motivasi daripada air.

" Allah, dah tak ada jalan dah ni "
Itu mungkin kata-kata kita apabila kita cuba menyelesaikan satu masalah, dan kita tidak berjumpa jalan penyelesaiannya.
 

"Apa boleh buat, setakat ini aja la yang kita mampu "
Mungkin itu satu lagi alasan yang sering kita dengar apabila seseorang manusia, kononnya telah berusaha.
 

Tak ada jalan, sudah usaha sehabis kudrat, dan sebagainya adalah alasan-alasan yang sering kedengaran
semasa kita perlu melaksanakan kerja, perlu menyelesaikan masalah, perlu berhadapan dengan situasi yang memerlukan usaha.
Kita mudah mengalah apabila menyedari kita terperangkap. Kita mudah tewas apabila tersekat dengan halangan.
Tetapi saya hendak kita melihat makhluk Allah bernama air yang mengalir.
Apa yang kita boleh ambil daripadanya?
Sebagaimana yang kita tahu, air ini sifatnya memenuhi ruang. Dia akan memasuki segala ruang yang ada, mengisi dan memenuhinya. Air tidak akan memasuki pepejal, tetapi bergerak melaluinya. Dan air yang mengalir, tidak boleh dihalang atau dihadang pergerakannya. Air yang mengalir tetap akan
mengalir, mengalir dan mengalir.
 

Jom buat eksperimen.
 

Ambil segelas cawan, dan kemudian tuangkan air secara berterusan ke dalamnya.
Apa yang kita akan lihat?
Hm, air itu terperangkap di dalam cawan. Tetapi, apabila dia terus mengalir dan mengalir, dia tidak kekal di bahagian bawah cawan itu sahaja. Dia perlahan-lahan naik, naik, dan naik, seterusnya melimpah keluar dari cawan.
 

Nampak? Walaupun tiada jalan keluar di kiri, kanan, hadapan, dan bawahnya, air mengalir tidak berputus
asa. Dia terus bergerak, mencari jalan keluar, hinggalah dia naik ke atas untuk melepaskan diri dari perangkap cawan.
Lihat lah air yang mengalir. Kalau ada jeram menghalang, dia akan keluar melalui celahan-celahan batu jeram, di celah kiri kanan batu jeram, di atas batu jeram. Air mengalir akan terus mencari jalan keluar walau sekecil mana sekalipun.
 

Inilah yang manusia perlu ambil pengajaran.
Jadilah seperti air yang mengalir. Terus berusaha, berusaha dan berusaha tanpa jemu, tanpa rasa hendak
gagal, walaupun sudah terperangkap tanpa jalan keluar.

Boleh la, itu air mengalir. Sentiasa mengalir. Kita manusia, ada penat juga
Ya. Kita manusia, ada penat. Betul. Tenaga kita tidak akan sentiasa mengalir seperti air yang mengalir.

Tetapi, kita boleh menghadirkan tenaga kita itu.
Ya. Dari mana sumber tenaga kita?
 

Daripada Allah SWT. Dengan menjaga hubungan kita kepada-Nya, sentiasa berhubungan dengan-Nya, maka kita akan mempunyai sumber tenaga tetap.
Dari situ, kita mampu menjadi seperti air mengalir,
tenaga kita sentiasa mengalir daripada Allah SWT.
Kita akan mampu menjadi tenang.

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi petunjuk ke jalan ugamanya, sesiapa yang rujuk
kepadaNya, "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah
dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. Surah Ar-Ra d ayat 27-28.
Kita akan menjadi lapang ketika menghadapi kesusahan.
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
dan (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.Kita tidak akan rasa kesepian bila kita keseorangan. Surah Al-Insyirah ayat 5-6.

Air yang mengalir. Kalau air yang mengalir ada sumbernya, maka sumber tenaga kita adalah Allah SWT.
Dengan tenaga yang kita raih daripada Allah SWT ini, kita akan berusaha, berusaha, dan terus berusaha,
mencari jalan keluar, mencari penyelesaian, untuk segala permasalahan kita. Kalau jalan keluar di hadapan,
kiri, kanan dan belakang serta bawah tertutup, kita akan sanggup mendaki ke atas untuk keluar.
Begitulah kesungguhan kita. Kalau atas pun tertutup, kita sanggup pecahkan segala penghalang kita.
Itulah kekuatan kita.
Motivasi daripada air mengalir.
Dengan kekuatan hubungan kepada Allah SWT.


Penutup :
Bangkitlah

Janganlah kita lena lagi. Ayuh bangkit bersama ! . Assalamualaikum.